Mulut sihat pemangkin hidup ceria




Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Kementerian Kesihatan






BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 Mac. - Hari Kesihatan Mulut Sedunia diraikan pada setiap 20 Mac sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mulut.


Tahun ini merupakan tahun terakhir dalam kempen selama tiga tahun yang dilancarkan oleh FDI World Dental Federation untuk Hari Kesihatan Mulut Sedunia dengan tema utama, 'Mulut Sihat Adalah... (A Happy Mouth Is...)' dan tahun ini bertemakan 'Mulut Sihat Adalah...Hidup Ceria (A Happy Mouth Is… A Happy Life)'.


Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Perutusan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2026 pada 20 Mac 2026.


Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, tema ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan mulut pada setiap peringkat umur - dari lahir sehingga usia lanjut.


Mulut, tambah Yang Berhormat, memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Mulut yang sihat bukan sahaja menyokong kesihatan seluruh badan, malah membolehkan kita menikmati kehidupan dengan lebih ceria - sama ada ketika makan, berbual bersama rakan, atau ketawa bersama insan tersayang.


“Masalah kesihatan mulut bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah boleh memberi kesan yang signifikan terhadap kesejahteraan seseorang, antaranya Gigi berlubang, Nafas berbau atau Kehilangan gigi boleh menyebabkan seseorang berasa rendah diri dan malu untuk berinteraksi dengan orang lain. Sakit gigi boleh mengakibatkan gangguan tidur yang serius, perubahan emosi, kesukaran menumpukan perhatian, stres yang berpanjangan sekali gus meningkatkan risiko kemurungan.


“Masalah kesihatan mulut juga boleh mengakibatkan ketidakhadiran ke tempat kerja dan sekolah, serta menjejaskan produktiviti dan prestasi akademik. Individu yang mengalami masalah kesihatan mulut sering menghadapi kesukaran untuk mengunyah makanan dengan baik. Keadaan ini boleh menyebabkan mereka mengelakkan makanan tertentu, hilang selera makan atau mengalami gangguan pemakanan, dan kekurangan nutrisi. Kajian menunjukkan bahawa penyakit mulut boleh mengakibatkan masalah kesihatan sistemik yang serius, termasuk penyakit jantung, diabetes dan jangkitan pernafasan," kongsi Yang Berhormat.


Di Negara Brunei Darussalam, ujar Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan pergigian sepenuh masa di Pusat Pergigian Negara, pusat-pusat kesihatan, hospital kerajaan dan juga di Pusat Perkembangan Kanak-Kanak.


Kongsi Yang Berhormat lagi, perkhidmatan yang disediakan termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut asasi dan perkhidmatan kepakaran pergigian.


Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Pergigian tambah Yang Berhormat, seramai 154,382 pesakit telah mendapatkan rawatan di klinik-klinik pergigian kerajaan sepanjang tahun 2025. Pada masa ini, orang ramai boleh membuat tempahan perjanjian melalui aplikasi BruHealth bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut asasi dan digalakkan untuk hadir mengikut waktu yang telah ditetapkan. Sekitar 90 hingga 95 peratus tempahan perjanjian dibuat melalui aplikasi BruHealth.


“Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Pergigian juga giat melaksanakan pelbagai program bagi mempromosikan kesihatan mulut kepada semua lapisan masyarakat. Antaranya ialah Program Senyum SiManja dilaksanakan di 16 buah pusat kesihatan dan hospital di seluruh negara untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun. Program ini memberi pendidikan awal kepada ibu bapa / penjaga mengenai penjagaan gigi serta rawatan pencegahan seperti sapuan varnis fluorida. Program Senyum Pelajar dilaksanakan di sekolah tadika, rendah dan menengah melalui taklimat interaktif kesihatan mulut serta rawatan pencegahan seperti sapuan varnis fluorida bagi membentuk amalan penjagaan gigi yang baik sejak usia muda.


“Sementara itu, Program Senyum Komuniti menyasarkan kumpulan komuniti tertentu seperti pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan Persatuan Kegiatan Warga Emas (PKWE) bagi meningkatkan kesedaran serta penjagaan kesihatan mulut dan Program Senyum Kasih adalah khusus untuk para pesakit berkeperluan khas di kediaman masing-masing, Pusat Al-Islah dan Kompleks Rumah Kebajikan bagi memastikan mereka turut mendapat akses kepada perkhidmatan pergigian," terang Yang Berhormat.


Ujar Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan turut menyediakan 'Perkhidmatan Pergigian Sekolah' untuk murid-murid di 46 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah bagi memastikan pelajar mempunyai kesihatan mulut yang baik sebelum menamatkan persekolahan. Program ini merangkumi latihan memberus gigi di semua sekolah rendah di seluruh negara bagi menggalakkan amalan penjagaan gigi yang betul.


Sokongan dan kerjasama pihak sekolah tambah Yang Berhormat sangat diharapkan bagi memastikan pelajar membiasakan diri memberus gigi selepas waktu makan di sekolah. Berdasarkan data Perkhidmatan Pergigian Sekolah bagi tahun 2025, kadar kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak berusia 5 tahun adalah 59 peratus, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun adalah 36 peratus.


Oleh yang demikian, terang Yang Berhormat, pihak Jabatan Perkhidmatan Pergigian sedang giat melaksanakan beberapa usaha bagi mengurangkan kadar kerosakan gigi melalui inisiatif 'Bekerjasama dengan Perkhidmatan Kejururawatan Kesihatan Masyarakat' untuk menyediakan pendidikan kesihatan mulut kepada ibu mengandung; mempertingkatkan 'Program Senyum SiManja' untuk meningkatkan akses kepada kanak-kanak kecil dan 'Memperluaskan Perkhidmatan Pergigian Sekolah' untuk meningkatkan akses kepada pelajar sekolah rendah dan menengah.


Menurut Yang Berhormat lagi, Jabatan Perkhidmatan Pergigian juga telah menghasilkan Pelan Hala Tuju Kebangsaan Kesihatan Mulut 2024-2025 (National Roadmap on Oral Health 2024 2025) selaras dengan Global Oral Health Action Plan 2023-2030 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO).


Melalui pelan strategik ini, tambah Yang Berhormat, Jabatan Perkhidmatan Pergigian akan Meningkatkan tadbir urus kesihatan mulut; Menguatkan usaha dalam promosi kesihatan dan pencegahan penyakit mulut; Membangunkan tenaga kerja pergigian; Memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut untuk masyarakat; Memperkukuh sistem maklumat pergigian dan Mengutamakan agenda penyelidikan kesihatan mulut.


Kongsi Yang Berhormat, pada masa ini, Jabatan Perkhidmatan Pergigian juga sedang giat menghasilkan Pelan Hala Tuju Kebangsaan Kesihatan Mulut 2026-2027 dan seterusnya merancang untuk melaksanakan Kaji Selidik Kesihatan Mulut Kebangsaan 2027-2028 bagi mendapatkan maklumat kesihatan mulut kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih tepat dan terkini.


“Sempena Hari Kesihatan Mulut Sedunia ini, orang ramai digalakkan untuk terus mengamalkan penjagaan kebersihan mulut setiap hari. Antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi yang berfluorida dan menggunakan flos sebelum tidur. Elakkan berkumur selepas memberus gigi bagi memastikan fluorida terus melindungi gigi; Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman manis serta berasid, dan mengambil makanan yang kaya dengan kalsium dan vitamin D; Membuat pemeriksaan gigi secara berkala atau rutin bagi membantu mengesan dan merawat masalah gigi sebelum ia menjadi lebih serius.


“Sementara itu, Berhenti merokok kerana ia menjejaskan kesihatan gigi, gusi dan juga kesihatan tubuh badan; Elakkan mendapatkan rawatan daripada individu-individu yang tidak bertauliah yang kini berleluasa di negara ini seperti pendakap gigi tiruan ('fake braces'), venir tiruan ('fake veneers') dan pemutihan gigi ('teeth whitening') dan Mengamalkan gaya hidup sihat serta pengurusan stres yang baik seperti meditasi, senaman, dan tidur yang mencukupi." ujar Yang Berhormat.


Orang ramai bolehlah mengikuti akaun rasmi '@dentalbrunei' di platform media sosial Instagram dan TikTok untuk mendapatkan panduan penjagaan pergigian serta pelbagai maklumat promosi kesihatan mulut.


Yang Berhormat menegaskan, Kementerian Kesihatan akan terus komited dalam meningkatkan kesihatan mulut melalui penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mulut yang berkesan, saksama, berpatutan, boleh diakses, selamat dan mampan kepada seluruh masyarakat. Marilah kita bersama-sama menghayati tema 'Mulut Sihat Adalah...Hidup Ceria' dan mengambil langkah proaktif ke arah penjagaan kesihatan mulut yang lebih baik.

Close